WASHINGTON 23 Mei – Presiden Donald Trump menegaskan bahawa persidangan antara beliau dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Singapura pada 12 Jun ini, ‘berkemungkinan besar’ tidak akan menjadi kenyataan.
Kenyataan Trump itu dibuat ketika tercetus kebimbangan Jong-un tidak akan menghentikan program nuklear di negaranya.
Keraguan Trump tentang pertemuan itu disuarakan semasa pertemuannya dengan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in yang mengunjungi White House bagi mendesak Trump agar tidak melepaskan peluang tersebut.
Jika persidangan tersebut dibatalkan atau gagal maka perkembangan itu merupakan tamparan hebat kepada penyokong Trump yang mengharapkan persidangan tersebut sebagai kejayaan diplomatik terbesar dalam kepimpinan Trump selain kegagalan itu akan mengecewakan Presiden AS.
“Kemungkinan besar persidangan itu tidak akan berlaku tetapi tidak apa kerana ini tidak bermakna ia tidak akan berlaku dalam tempoh yang panjang cuma mungkin tidak menjadi kenyataan pada 12 Jun ini tetapi ada kemungkinan kami akan mengadakan persidangan tersebut,” katanya.
Menurut Trump, sama ada persidangan itu akan diadakan seperti dijadualkan atau tidak, akan diputuskan ‘tidak lama lagi’.
“Korea Utara mempunyai peluang untuk menjadi negara yang hebat dan saya fikir mereka perlu merebut peluang ini,” kata Trump.
Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo kemudian memberitahu wartawan bahawa pentadbiran Trump masih lagi merancang persidangan pada 12 Jun ini tetapi enggan menjangkakan sama ada ia dilaksanakan atau sebaliknya.
Pada minggu lalu Korea Utara mengutuk latihan tentera udara bersama AS dengan Korea Selatan dan mengugut untuk menarik diri daripada persidangan itu.
Dalam pada itu, jurucakap kerajaan Korea Selatan memberitahu, Jae-in telah memaklumkan Trump agar tidak meragui kesediaan Korea Utara untuk menyertai persidangan itu.
Jae-in amat optimis tentang persidangan tersebut malah Penasihat Keselamatan Kebangsaan Korea Selatan, Chung Eui-yong berkata, pemimpin itu percaya bahawa wujud ‘99.9 peratus’ peluang bagi persidangan itu diadakan seperti yang dirancang. –Reuters











