Rakyat berharap kerajaan negeri baharu melaksanakan janji - Utusan Malaysia

Rakyat berharap kerajaan negeri baharu melaksanakan janji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSIM Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah berlalu.

Tahniah kepada Pakatan Harapan yang berjaya membentuk kerajaan dan mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas lebih enam dekad di bawah Barisan Nasional (BN).

Nyata ketibaan bulan Ramadan berselang seminggu selepas keputusan PRU-14 yang ‘mengejutkan’ banyak pihak, membawa ceria dan gembira untuk gabungan Pakatan Harapan dan perasaan sedih serta kecewa kepada BN itu sedikit sebanyak meredakan suasana.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun masih kedengaran di sana sini sembang politik, namun sekurang-kurangnya tumpuan umat Islam terarah terhadap ibadah sempena bulan yang mulia ini.

Teropong Kawan berharap, Pakatan Harapan yang memenangi PRU-14 jangan mendabik dada dan menunjuk-nunjuk sehingga memperlekehkan pihak lawan dan begitu juga BN, tidak perlu terlalu ‘meratapi’ kekalahan kerana itulah kehendak dan suara rakyat.

Memang adat pertandingan, pasti ada menang dan kalahnya!

Teropong Kawan walaupun bukan ahli politik dan cuma sesekali ‘berangan’ tetap berpendapat bahawa parti yang menang bukan menjadi juara semuanya dan yang kalah tidak tewas segala-galanya. Itulah seni berpolitik!

Pesanan untuk pihak Pakatan Harapan, khususnya di negeri ini supaya melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan rakyat dengan adil, telus dan bijaksana. Jangan sampai ‘cakap tak serupa bikin’.

Jika selama ini ramai pemimpin mereka yang mempertikaikan usaha, perancangan serta urus tadbir dilaksanakan BN, nah kini Pakatan Harapan diberi peluang menjadi nakhoda – harus membuktikan bahawa mereka mampu melakukan lebih baik daripada kerajaan terdahulu.

Rakyat sedang memerhati, menanti serta pastinya selepas ini akan menilai sejauh mana mereka mampu melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

Teropong Kawan amat berharap semua pemimpin Pakatan Harapan tidak lupa atau buat-buat lupa semua janji dalam manifesto mereka pada PRU-14.

Rakyat pasti akan memberi peluang dan masa bagi Pakatan Harapan ‘menyesuaikan’ diri. Mungkin tempoh tiga bulan atau 100 hari mencukupi untuk mereka ‘belajar’ dan selepas tempoh itu mereka perlu melaksanakan apa yang dijanjikan.

Andai gagal, pasti rakyat akan membuat teguran.

Bagi BN, usah terus berduka-lara. Elakkan menuding jari sesama sendiri, ini peluang untuk muhasabah diri dengan mencari di mana titik kelemahan yang ada serta perbaiki.

Teropong Kawan berpendapat, dalam suasana begini solidariti yang jitu harus diletakkan di puncak keutamaan oleh semua pemimpin dan ahli kerana kesatuan yang utuh pasti memberi kekuatan yang maksimum dalam gerak kerja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN