KUALA LUMPUR 21 Mei – Anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dilaporkan terpaksa dipecahkan kepada beberapa kumpulan bagi melakukan proses pengiraan sejumlah wang tunai dipercayai milik Datuk Seri Najib Tun Razak yang dirampas empat hari lalu di Pavilion Residences di sini.
Difahamkan, walaupun kini memasuki hari keempat serbuan dan rampasan 72 bagasi disyaki berisi wang tunai di tiga unit kediaman milik keluarga bekas Perdana Menteri itu, namun proses pengiraan duit itu masih dilakukan sejak semalam.
Menurut sumber, hanya 10 daripada 72 bagasi yang berisi pelbagai mata wang termasuk Ringgit Malaysia baharu selesai dikira namun jumlah tersebut tidak didedahkan.
“Proses pengiraan wang tersebut dilakukan sejak pukul 10 pagi semalam dengan bantuan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
“Setakat pukul 8 malam (semalam), sebahagian besar wang dalam 72 bagasi sudah dikira dan proses itu mengambil masa panjang disebabkan jumlah duit terlalu banyak termasuklah daripada pelbagai jenis mata wang asing,” katanya.
Tambah sumber itu lagi, proses pengiraan terbabit amat rumit serta mengambil masa panjang kerana pihaknya perlu merekodkan setiap nombor siri pada wang tersebut sebagai bukti penyiasatan.
“Wang yang sudah dikira itu dilakukan di Menara 238, Jalan Tun Razak di sini dan dibawa ke Bukit Aman sebelum diserahkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk proses pengiraan semula bagi tindakan seterusnya,” katanya.
Difahamkan, sebuah bank tempatan turut dilantik menjalankan proses pengiraan nilai semua barang kemas dan jongkong emas yang disita dalam serbuan sebelum ini.
Terdahulu, pihak polis merampas 284 kotak dan 72 bagasi berisi pelbagai jenis barang seperti beg tangan berjenama, barang kemas dan wang tunai dalam serbuan di tiga unit kediaman di Pavilion Residences sejak Rabu hingga awal pagi Jumaat lalu.
Barangan tersebut dirampas bagi tujuan siasatan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (IMDB). – UTUSAN ONLINE










