KUCHING 21 Mei – Majlis Tertinggi dan 15 Cawangan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg dalam pendiriannya menjaga kepentingan negeri ini.
![]() |
|
ABANG HELMI
|
Presiden DUBS, Datuk Abang Helmi Ikhwan berkata, pihaknya menyokong penuh pendirian Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) supaya Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak menyertai Pakatan Harapan tetapi menjadikan kerajaan Sarawak mengambil sikap mesra kerajaan Persekutuan.
“Saya mewakili ahli DUBS berharap agar hak-hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan dan hak – hak lain akan dapat dikembali serta diberikan dengan baik kepada rakyat Sarawak.
“Amanah dan harapan besar rakyat Sarawak memberikan mandat kepada kepimpinan beliau haruslah terus disokong dan diberikan keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga yakin 19 Ahli Parlimen BN Sarawak yang dipilih akan dapat membawa kehendak rakyat dan menjadi suara efektif di Parlimen.
Katanya, barisan wakil rakyat terbabit diyakini dapat menyemak dan mengimbangi usaha dalam membawa kepentingan serta isu pembangunan bagi rakyat Sarawak.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Tun Mahathir Mohamad atas pelantikan beluau sebagai Perdana Menteri yang ketujuh dan yakin Malaysia akan lebih bertambah makmur serta disegani selepas ini.
“Rakyat Malaysia menantikan perubahan baharu yang lebih baik dan mesra usahawan Bumiputera Sarawak.
“DUBS berharap kerajaan pimpinan Dr Mahathir akan dapat memperluaskan lagi peluang untuk usahawan bumiputera berniaga seperti dalam pengagihan kontrak kerja, perkhidmatan dan melaksanakan dana pembangunan kapasiti yang sedia ada,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE












