KLANG – Seorang bayi lelaki masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di padang permainan berdekatan Dewan Komuniti Andalas, Taman Sri Andalas di sini tengah hari tadi.
Bayi itu ditemui pukul 12.38 tengah hari oleh seorang penduduk di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sepasukan polis yang tiba di lokasi kejadian sebaik menerima maklumat mendapati bayi tersebut ditinggalkan dalam balutan kain pelikat.
“Keadaan bayi masih bertali pusat dan mempunyai uri.
“Bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan disahkan dalam keadaan sihat dengan berat 3.22 kilogram,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Jelas beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil di mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. – K! ONLINE











