KUALA LUMPUR 21 Mei – Perdana Menteri, anggota Kabinet dan Ketua-Ketua Institusi disaran untuk mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain mendedahkannya secara terbuka menerusi dalam talian bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar juga meminta agar proses tersebut turut dilakukan oleh pasangan masing-masing dan ahli keluarga terdekat.
Malah, kata beliau, Ketua Pesuruhjaya SPRM juga perlu mengisytiharkan harta kepada Parlimen sebelum Perdana Menteri dan anggota Kabinet serta Ketua-Ketua Institusi mengisytiharkan harta masing-masing.
“Pada masa ini, anggota Kabinet mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri manakala ketua di kementerian dan jabatan termasuk Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan anggota tertinggi dalam perkhidmatan awam mengisytiharkan harta mereka kepada Ketua Setiausaha Negara.
“Pengisytiharan harta kepada SPRM hendaklah dilakukan sebelum dan selepas memegang sesuatu jawatan dengan analisis nilai bersih dilakukan secara berkala, mungkin dilakukan setahun sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – UTUSAN ONLINE











