KUALA LUMPUR 21 Mei – Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera (MTEM) meminta kerajaan untuk mengkaji semula dan memberi nilai tambah kepada agenda ekonomi bumiputera di negara ini supaya lebih berkesan dan tidak hanya menguntungkan golongan tertentu.
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata, status ekonomi bumiputera masih jauh ketinggalan daripada mencapai tahap keseimbangan ekonomi antara kaum walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu.
“Pendapatan perkapita bagi bumiputera yang masih rendah berbanding kaum lain, peratusan pengangguran yang meningkat, pemohon kerja yang berdepan diskriminasi majikan swasta serta gejala ‘Ali Baba’ yang berleluasa merupakan isu yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.
“Oleh itu, MTEM berharap agar Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan benar-benar komited dalam usaha untuk menyeimbangkan ekonomi negara melalui pengurangan jurang kekayaan dan pendapatan di antara kaum. Ini juga selari dengan manifesto Pakatan Harapan menerusi Teras 3 iaitu untuk merancak pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama,” katanya.
Ahmad Yazid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas Ahli Majlis MTEM di sini hari ini. Yang turut hadir, Setiausaha Agung, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Mohd. Nizam Mahshar.
Sementara itu, tambah beliau, MTEM meyakini kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sebelum ini telah terbukti membela kepentingan bumiputera.
“Kami berharap perkara tersebut akan terus dilaksanakan dengan lebih telus dan berkesan. Ini penting untuk memastikan keseimbangan ekonomi antara kaum dan menjamin masa depan negara yang lebih makmur dan sejahtera,” katanya. – UTUSAN ONLINE











