KUALA LUMPUR 21 Mei – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil semula saksi bagi menyangkal keterangan pembelaan berhubung kes dua bekas pegawai kanan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang masing-masing didakwa atas dua pertuduhan melakukan pecah amanah dan bersubahat melibatkan dana Felda lebih RM47 juta, empat tahun lalu.
Hakim Allaudeen Ismail memutuskan demikian selepas meneliti dan menilai hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes terhadap bekas Pengarah Besar, Datuk Faizoull Ahmad, 58, dan bekas Timbalan Pengarah Besar Sumber Strategik, Muhammad Sufi Mahbub, 54.
Mahkamah kemudian menetapkan 28 Mei ini untuk pihak-pihak memfailkan hujahan pada akhir kes pembelaan serta 8 Jun ini untuk keputusan kes tersebut.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sufi didakwa sebagai orang yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Felda telah melakukan pecah amanah dengan melupuskan dan meluluskan pembayaran RM25,999,000 dan RM21,625,500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah atau Jawatankuasa Tender Felda.
Kelulusan itu dibuat menerusi perjanjian Technology Transfer and Supply Agreement dan Design-Build Contract Agreement dengan I2C Hassed Co. Ltd. dan I2C Hassed (M) Sdn. Bhd. melalui Felda Caviartive Sdn. Bhd.
Pertuduhan terhadap bapa tiga anak itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.
Sementara itu, Faizoull pula didakwa bersubahat dengan Muhammad Sufi untuk melakukan perbuatan tersebut dan pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 109 kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 409 kanun tersebut yang memperuntukkan hukuman serupa.
Kesemua pertuduhan tersebut didakwa dilakukan di Bangunan Wisma Felda, Jalan Perumahan Gurney, di sini antara 13 Januari dan 23 Julai 2014.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afzainizam Abdul Aziz manakala peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal bertindak bagi Muhammad Sufi manakala Faizoull diwakili peguam Azad Bashir.
Pihak pembelaan telah menutup kesnya pada 26 April lalu selepas memanggil empat saksi untuk memberi keterangan manakala ketika peringkat kes pendakwaan, sebanyak 49 saksi telah dipanggil.











