KUALA LUMPUR – Kenderaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat memasuki pekarangan kediamannya sekitar pukul 1.20 petang selepas pulang dari Pekan, Pahang sebentar tadi.
Najib yang menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire itu dilihat memasuki pekarangan kediaman beliau di Langgak Duta, Taman Duta di sini sambil diiringi oleh dua kenderaan polis pengiring.
Semalam, Najib meluangkan masa seharian beramah mesra bersama penduduk di kawasan Parlimen yang diwakilinya itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.
Ahli Parlimen Pekan itu juga dijadual akan hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia esok untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn. Bhd.
Tinjauan Kosmo! ke kawasan kediaman bekas Perdana Menteri itu mendapati masih terdapat petugas media yang setia berkampung di sana bagi melaporkan sebarang perkembangan terkini. – K! ONLINE











