KUALA LUMPUR 21 Mei – Beberapa individu yang dilantik menganggotai Pasukan Khas Siasatan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) yang baharu ditubuhkan, mengadakan perjumpaan di Menara Ilham di sini hari ini berkemungkinan bagi membincangkan hala tuju kaedah siasatan berkaitan syarikat pelaburan kerajaan itu.
Antara mereka yang hadir ialah bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull.
Anggota pasukan khas akan mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Majlis Penasihat Kerajaan baru-baru ini untuk menyiasat urusan berkaitan 1MDB.
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman yang mengetuai jawatankuasa berkenaan turut kelihatan hadir ke Menara Ilham kira-kira pukul 2 petang tadi.
Sebelum itu, Majlis Penasihat Kerajaan turut mengadakan mesyuarat yang juga dihadiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Presiden Pengusaha-pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz.
Pertemuan itu difahamkan membincangkan mengenai penyelarasan harga dan subsidi petrol.-UTUSAN ONLINE











