PELANTIKAN Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh adalah satu catatan sejarah negara kita, kerana Dr. Mahathir adalah pemimpin pertama di negara ini menyandang jawatan tertinggi buat kali kedua setelah menyandangnya selama 22 tahun ketika bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Kehadiran semula Tun M berusia 93 tahun itu atas pentas politik negara setelah bersara selama 15 tahun, tentu sekali menarik perhatian masyarakat dunia.
Walaupun kali ini beliau menjadi pemimpin tertinggi negara atas tiket parti Pakatan Harapan (PH) diharapkan pendirian Dr. Mahathir masih tetap seperti dahulu, berani bercakap pasal perpaduan Melayu, keistimewaan orang Malayu, kedudukan bahasa Melayu dan kedaulatan Raja-raja Melayu.
Ini bukan bererti kita menidakkan keperluan dan menafikan hak bangsa-bangsa lain. Tapi kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama sejak sekian lama jangan diketepikan. Negara kita aman damai semasa di bawah pemerintan kerajaan BN selama lebih 70 tahun kerana berlandaskan kontrak sosial tersebut.
Kejatuhan kerajaan BN bukanlah bererti satu kejayaan yang perlu dibanggakan. Kebangkitan (PH) adalah kegairahan anak muda yang yang tidak mengatahui kontrak sosial, kononnya mahukan perubahan. Tapi kebanyakan mereka juga tidak faham sepenuhnya apakah bentuk perubahan yang dilaungkan.
Pemikiran anak muda wajar kita dengar, tapi jangan dituruti sepenuhnya. Anak muda lahir dalam serba kemewahan dan kesenangan. Mereka menjalani kehidupan hanya melihat apa yang berada di hadapan. Mereka berfikir secara logik akal. Mereka menuntut apa yang mereka mahu. Jarang sekali mereka memikirkan apakah yang mereka dapat itu ada manfaat atau mudaratnya.
Zaman sudah berubah. Langskap politik juga perlu berubah mengikut keperluan kehidupan. Tapi kita tidak perlu mengubah segala-galanya. Rukun menubuhan sesebuah negara itu perlu menjadi asas yang kukuh supaya tidak jauh tersasar. Kita boleh bercanggah pendapat, tapi jangan membelakangkan perjanjian bersama yang telah dipersetujui pemimpin terdahulu.
Diharapkan dengan peralihan kuasa ini struktur pemerintahan negara bertambah baik dan kemas. Tahniah, kerana ramai orang muda yang mengambil tempat dalam menerajui pemerintahan (PH). Tapi jangan gopoh. Jangan terlalu ghairah melakukan perubahan, tanpa merujuk lipatan sejarah.
Menurut Ibn Khaldun dalam Mukadimah (MS 138) sesebuah pemerintahan itu tidak akan kekal lama sekiranya hilang semangat kekitaan. Maksudnya setiap kumpulan, anggota dan bangsa itu perlu saling sayang menyayangi. Sanggup berjuang, rela berkorban demi menjaga kepentingan bersama. Semangat kekitaan yang dinyatakan Ibn Khaldun ini bukan membawa maksud Assabiyah, tapi menjurus ke arah mempertahankan hak bangsa tanpa menindas kaum lain.
Menurut Ibn Khaldun lagi. Rasulullah SAW pastinya tidak dapat memperkembangkan Islam di tanah Arab sekiranya tidak ada semangat kekitaan dalam kalangan Arab Quriysh. Justeru, diharapkan semua pemimpin Melayu, renungi dan hayatilah kata-kata Ibn Khaldun ini.
CICIT WAN NGAH
Pahang











