Perkahwinan ikonik pasangan diraja Britain - Utusan Malaysia

Perkahwinan ikonik pasangan diraja Britain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WINDSOR, Britain – Putera Harry dan aktres Hollywood, Meghan Markle selamat me­langsungkan perkahwinan dalam satu majlis gilang-gemilang dan penuh emosi di Gereja St George, Istana Windsor semalam.

Ketua Biskop Canterbury, Justin Welby mengisytiharkan pasangan diraja itu sebagai suami isteri selepas mereka bertukar cincin dan melafazkan ikrar perkahwinan.

“Terdapat kasih sayang yang mendalam antara mereka dan ia sangat hebat, saling memahami dan menyokong antara satu sama lain,” kata Welby.

Memuatkan artikel berkaitan…

Upacara tersebut turut disiarkan secara langsung di seluruh dunia dengan lebih 100,000 orang sanggup berada di tengah-tengah panas di sekitar jalan-jalan di Windsor bagi meraikan perkahwinan Harry, 33, dan Meghan, 36, yang kini bergelar Duke dan Duchess of Sussex.

Selain kehadiran pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan keluarga diraja, perkahwinan tersebut turut dimeriahkan dengan selebriti ter­kenal dunia termasuk Oprah Winfrey, Elton John, George Clooney dan bintang bola sepak, David Beckham.

Meghan diiringi bapa mertuanya, Putera Charles menuju ke altar selepas bapanya, Thomas Markle, 73, tidak dapat hadir atas masalah kesihatan.

Di luar kawasan Istana Windsor, beribu-ribu peminat sanggup berkhemah sepanjang malam untuk meraikan upacara perkahwinan ikonik pasangan diraja Britain itu.

Kehadiran Meghan dilihat memberi nafas baharu dalam monarki keluarga diraja itu yang sering dilihat lebih tradisional.

Harry yang merupakan anak ke­dua Putera Charles dan mendiang bekas isterinya, Puteri Diana mula bertemu Meghan di London pada Julai 2016 selepas diperkenalkan oleh rakannya.

“Semua bintang sejajar. Semua­nya sangat sempurna,” kata Harry apabila pasangan itu mengumumkan pertunangan mereka pada November 2017.

Meghan dilamar pada waktu makan malam di kotej Istana Kensington, yang didiami Harry selepas ibu bapanya bercerai.

Apabila Diana terbunuh dalam kemalangan kereta di Paris pada 1997, Harry baru berusia 12 tahun dan sejak itu dia digambarkan media di seluruh dunia sebagai putera yang sentiasa diselubungi kesedihan. – AFP

KAWASAN di luar Istana Windsor dipenuhi orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang meraikan perkahwinan penuh gilang-gemilang bagi pasangan diraja ikonik Britain.

PASANGAN Duke dan Duchess of Sussex ini tersenyum gembira sambil berpegangan tangan selepas upacara perkahwinan mereka selamat dijalankan di Windsor, England semalam.

HARRY (kanan) dan Meghan bertukar ikrar perkahwinan di hadapan Welby di Gereja St George, Istana Windsor semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN