Tindakan tegas terhadap anggota tidak profesional - Utusan Malaysia

Tindakan tegas terhadap anggota tidak profesional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan bertolak ansur berhubung dakwaan mengenai anggotanya yang memakan coklat dan makanan yang berada dalam peti sejuk di kediaman milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melakukan serbuan selain meminta makanan disediakan untuk mereka di premis itu pada 16 dan 17 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit (JSJK) Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap tingkah laku tidak profesional itu sekiranya dakwaan tersebut didapati benar.

Sehubungan itu, beliau meminta Najib untuk memberikan maklumat yang lebih terperinci mengenai insiden tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika boleh, beri maklumat mengenai pegawai atau anggota yang terlibat itu dan lokasi kejadian. Saya tidak bertolak ansur jika dakwaan terbabit didapati benar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi merujuk dakwaan Najib melalui peguamnya, Datuk Harpal Singh Grewal dalam laporan portal Malaysiakini dan Free Malaysia Today yang mengatakan anggota polis yang membuat serbuan ke kediaman anaknya bersifat tidak bertanggungjawab dengan meminta makanan disediakan kepada mereka selain memakan coklat yang berada di dalam peti sejuk.

Berhubung dakwaan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang meminta agar pihak berkuasa menghentikan penyebaran gambar serbuan terbabit yang kini tular di media sosial Amar Singh berkata, Rosmah diminta untuk memberikan maklumat lanjut mengenai kebocoran gambar tersebut bagi membolehkan siasatan dilakukan.

“Ini adalah bagi memastikan sama ada gambar yang tular tersebut datang dari polis atau pun tidak kerana terdapat juga ahli keluarga dan rakan mereka yang berada di lokasi semasa serbuan dibuat,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN