KUALA LUMPUR – Polis meminta pihak berkenaan yang membuat dakwaan bahawa pemeriksaan yang dilakukan di kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu lalu dan semalam menganggu keluarganya supaya mengemukakan bukti tersebut.
Peguam Najib, Datuk Harpal Singh Grewal mendakwa barangan peribadi milik anak lelaki Najib dirampas dan serbuan di kondominium milik anak perempuannya dibuat tanpa kehadirannya. Polis juga dikatakan telah mengambil makanan dan coklat di dalam peti sejuk serta turut meminta makanan dihidangkan kepada mereka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi dengan kelakuan tidak profesional anggota tersebut.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap anggota yang melanggar prosedur dan arahan yang diberikan sekiranya dakwaan tersebut benar.
“Saya meminta pihak berkenaan untuk mengemukakan bukti bahawa insiden tersebut berlaku dan jika boleh, identiti pegawai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amar Singh menambah, merujuk kepada dakwaan penularan gambar ketika pemeriksaan di media sosial, beliau menegaskan tiada pegawai dan anggota yang dibenarkan untuk membawa telefon bimbit semasa pemeriksaan kecuali komander dan timbalan komander lapangan.
“Semua gambar dan rakaman video di lokasi hanya boleh diambil oleh jurugambar rasmi kami.
“Sekiranya pihak berkenaan boleh tampil dengan bukti gambar yang tular, siasatan akan dijalankan bagi mengesan punca penyebaran gambar tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya menjalankan serbuan di enam premis bagi membantu siasatan berkenaan kes 1MDB.
“Enam pegawai kanan polis dilantik sebagai Komander Lokasi bagi menyelia pemeriksaan di setiap premis.
“Mereka bertanggungjawab bagi memastikan anggota seliaan bertindak secara profesional serta menghormati penghuni kediaman tersebut iaitu Datuk Seri Najib dan ahli keluarnya,” katanya. – K! ONLINE











