TAPAH 19 Mei – Tiga beranak dan seorang saudara mereka parah setelah kenderaan pelbagai guna Toyota Innova yang dinaiki dihempap kontena yang tercabut daripada lori di Kilometer 355.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, keempat-empat mangsa iaitu pemandu kenderaan, Lee Kwi Swa, 65, isterinya, Cheor Bee Keun, 61, anak pasangan itu, Lee Choon Yung, 29, dan saudara mereka, Koh Yen Ching, 48, dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan itu melibatkan lima buah kenderaan iaitu dua buah lori tangki, sebuah lori kontena, Toyota Innova dan Perodua Rusa.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila lori tangki muatan serbuk kapur yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori tangki lain.
“Pelanggaran itu menyebabkan lori tangki tanpa muatan kemudiannya dilanggar di bahagian tepi oleh sebuah lori treler dari arah sama.
“Akibat rempuhan itu, kontena pada lori tersebut telah tercabut lalu terjatuh ke atas Toyota Innova dinaiki keempat-empat mangsa sebelum tergolek dan terkena Perodua Rusa,” katanya.
Wan Azharuddin memberitahu, pemandu lori kontena yang terlibat dalam kemalangan itu cedera ringan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.











