KUALA LUMPUR – Kegigihan para petugas media berkampung di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Langgak Duta di sini bagi melaporkan perkembangan terkini siasatan polis mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kembara Kitchen.
Pengasasnya, William Cheah berkata, Kembara Kitchen berbesar hati menyumbang juadah berbuka puasa kepada kira-kira 40 orang petugas media yang tabah menunggu di sana sejak Khamis lalu.
Kami terpanggil untuk melakukan sumbangan kepada petugas media setelah melihat sendiri pengorbanan yang dilakukan oleh mereka yang tetap menunggu walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu malah tetap menjalankan tugas dalam keadaan berpuasa.
“Ramai yang terlepas pandang sumbangan pihak media dalam melaporkan berita, ia bukan tugas yang mudah malah memerlukan kesabaran serta kegigihan yang tinggi,” katanya kepada petugas media ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut William, sumbangan tersebut juga merupakan satu simbol berterima kasih kepada petugas media yang sentiasa memberikan maklumat terkini kepada rakyat Malaysia.
Kembara Kitchen seterusnya mengedarkan sebanyak 35 bekas nasi goreng dan air minuman kepada petugas media serta anggota polis yang berada di hadapan kediaman Najib di sini. – K! ONLINE











