ALOR SETAR – Mayat lelaki dan perempuan disyaki mangsa bunuh ditemui di dalam parit berhampiran sawah di Kampung Bukit Lembu, Mukim Kedawang di Langkawi dekat sini.
Kedua-dua mayat itu bagaimanapun tidak dapat dikenal pasti identiti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, mayat lelaki ditemui kira-kira pukul 12.10 tengah hari Rabu lalu manakala mayat perempuan ditemui kira-kira pukul 6.38 petang semalam.
Kata beliau, kedua-dua mayat disyaki telah meninggal dunia antara lima hingga tujuh hari lalu berikutan keadaan mayat yang mulai reput dan berulat.
“Pemeriksaan di bahagian luaran badan mayat lelaki menemui tatu harimau di bahu kanan dan kiri serta tatu tiga ekor naga pada belakang badan.
“Hasil bedah siasat ke atas mayat lelaki mendapati punca kematian adalah akibat dikelar pada leher,” ujarnya.
Menurut Mohd. Iqbal, mayat perempuan mengalami pereputan yang teruk pada perut dan kepala selain terdapat ikatan pada kaki dengan kain. – K! ONLINE











