Polis peronda hampir dilanggar - Utusan Malaysia

Polis peronda hampir dilanggar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Seorang anggota polis berdepan detik cemas apabila nyaris dilanggar oleh sebuah kereta semasa sedang melakukan pemeriksaan jalan raya di Kilometer 30.7 Lebuh Raya Persekutuan di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, dalam kejadian pada pukul 1.32 pagi itu, suspek memandu kereta jenis Kia K2 melanggar belakang kereta Peronda Polis (MPV) yang diletakkan di belakang sebuah kereta Proton Waja yang sedang diperiksa di lorong kecemasan di sebelah kiri jalan tersebut.

“Ketika kejadian anggota polis tersebut, Koperal Mohd. Izzat Mustapha sedang melakukan pemeriksaan terhadap seorang pemandu kereta Proton Waja berkenaan manakala seorang lagi rakan setugasnya, Lans Koperal S. Geewan pula mengawal lalu lintas di kawasan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Geewan melihat sebuah kereta berwarna putih yang dipandu dengan sangat laju di lorong sebelah kiri jalan tersebut dan terus memasuki lorong kecemasan lalu melanggar belakang MPV tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Zani menambah, akibat perlanggaran tersebut, kereta MPV itu remuk di bahagian belakang manakala pemandu kereta Proton Waja tersebut cedera di dada akibat hentakan pada stereng kereta.

“Kedua-dua anggota polis tersebut sempat mengelak daripada dilanggar kereta berkenaan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu yang cedera tersebut dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya bagi mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan awal terhadap suspek yang bekerja sebagai kerani swasta itu mengaku mengantuk dan tertidur semasa mahu mengelak daripada melanggar sebuah kereta yang tiba-tiba cuba memasuki laluannya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN