SEREMBAN 19 Mei – Penceramah motivasi, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat, 41, menjelaskan beliau masih bersama UMNO walaupun telah melepaskan semua jawatan dalam parti itu.
Menurutnya, banyak pihak salah faham dan menyangka beliau keluar UMNO berikutan kenyataannya yang disiarkan menerusi laman Facebook, ‘Syamsul Amri Ismail Official’ hari ini.
“Saya masih bersama UMNO. Saya cuma lepaskan semua jawatan dalam parti bagi memberi laluan kepada individu lain.
“Saya telah diminta bertanding dalam pemilihan UMNO akan datang, tetapi saya sibuk dengan jadual ceramah dan mahu memberi perhatian kepada Pertubuhan Alumni Debat Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Dalam kenyataannya hari ini, Syamsul mengumumkan beliau melepaskan semua jawatan dalam UMNO kerana mengambil tanggungjawab ekoran kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.
Beliau yang tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dalam PRU-14 merupakan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Cawangan Panchor, Ketua Penerangan UMNO Cawangan Panchor dan Penceramah Biro Penerangan UMNO Malaysia. – UTUSAN ONLINE











