KOTA SAMARAHAN 19 Mei – Rasanya yang enak dan lembut menjadi rahsia cakoi yang dijual Mohammad Narawi,61, di Bandar Riyal di sini sentiasa memikat selera pelanggan.
Mohammad yang berasal dari Kampung Batu Perak, Stakan, berkata, dia sudah 20 tahun berkecimpung dalam perniagaan menjual cakoi bermula di Taman Samarindah sebelum berpindah di Pusat Penjaja Majlis Perbandaran Kota Samarahan(MPKS) di sini.
“Alhamdulillah… kuih cakoi yang saya jual bukan sahaja mendapat sambutan daripada masyarakat Melayu tetapi turut diminati masyarakat lain seperti Iban dan Cina.
“Kadang-kadang tak menang tangan melayan pelanggan. Apa yang penting ialah pelanggan datang membeli kuih cakoi berasa puas hati,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, dia memberitahu, jualan cakoi sehari mampu meraih hingga RM200.
“Biasanya saya akan mula menjual pada tengah hari dengan 15 kilogram bancuhan tepung gandum untuk dijadikan cakoi.
“Saya menjual empat batang kuih cakoi yang sederhana panjang dengan harga RM1,” ujarnya.
Menurutnya lagi, dia tidak hanya fokus menjual cakoi pada bulan puasa sahaja tetapi ia sudah menjadi sumber pendapatan utama sejak dulu lagi. -UTUSAN ONLINE











