SUNGAI PETANI 19 Mei – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menahan bekas banduan disyaki pengedar dadah bersama empat penagih dalam operasi di beberapa kawasan di sini pagi tadi.
Ketua AADK Daerah Kuala Muda, Shamshuri Yusoff berkata, operasi yang melibatkan lima anggota itu dijalankan di beberapa kawasan iaitu Taman Seri Tanjung, Taman Bakar Arang, Kampung Pinang Tunggal dan Kampung masjid.
Menurutnya, pengedar dadah berusia 44 tahun yang tinggal seorang diri itu ditahan selepas anggota AADK memeriksa sebuah rumah di Taman Seri Tanjung, Sungai Layar.
“Dalam operasi tersebut, kita merampas 11 paket lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis heroin dalam sebuah beg sandang berwarna hitam.
“Suspek merupakan anak ke-4 daripada tujuh beradik itu tidak mempunyai pekerjaan tetap selain pernah menjalani hukuman penjara empat kali sebelum ini akibat jenayah dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua penagih yang ditahan berusia antara 41 hingga 54 tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap dan dibawa ke pejabat AADK Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka didapati positif dadah jenis opiat dan kes akan disiasat di bawah seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan ) 1983,” jelasnya.
Shamshuri memberitahu, masyarakat turut digesa membantu dengan menyalurkan maklumat kepada AADK dan di samping itu, agensi berkenaan akan terus turun padang bertemu orang ramai dan membantu mereka yang memerlukan.
“Orang ramai boleh berbuat demikian dengan hadir ke pejabat bagi membuat laporan atau melalui laman web AADK di www.adk.gov.my atau ke pihak Kementerian Dalam Negeri di www.moha.gov.my,” katanya. – UTUSAN ONLINE











