KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin tidak bersetuju jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Beliau berkata, budaya itu perlu dihentikan kerana ia dilihat antara penyebab masyarakat hilang kepercayaan terhadap UMNO, selain punca kekalahan pada pilihan raya umum lepas.
“Saya fikir perlu hentikan perkara tidak munasabah ini bagi (jawatan tertinggi) tidak dipertandingkan ia seolah-olah kita tidak membuka ruang demokrasi kepada ahli-ahli kita.
“Kita tidak perlu ada lagi peraturan ‘tidak dipertandingkan’ dalam UMNO. Anda hanya menghantar mesej buruk kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, UMNO Melaka sebulat suara bersetuju supaya tiga jawatan tertinggi parti melibatkan kerusi Presiden, Timbalan Presiden dan satu kerusi Naib Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang. – Bernama











