DUNGUN – Seorang pelajar maut manakala tiga lagi remaja cedera dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Kampung Tebing Tembah, Paka di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 9.15 malam itu, Muhammad Afiq Danial Abdul Rahim, 14, yang juga pelajar Sekolah Menengah Datuk Engku Bijaya Sura di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Ketika kejadian, Muhammad Afiq dikatakan membonceng motosikal jenis C70 bersama rakannya, Muhammad Abdul Hadi Mohammad Zulkifli, 13, dalam perjalanan menuju ke sebuah masjid berhampiran dari Kampung Tebing Tembah di sini.
Berita berkaitan:
Sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Ego yang terlibat dalam nahas tersebut ditunggang dua beradik, Muhammad Shahrul Ridhuan Rollhassran, 14, dan Muhammad Shahrul Aiman, 11.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal Yamaha Ego itu secara tiba-tiba membuat pusingan U sebelum motosikal dibonceng mangsa dikatakan gagal untuk mengelak.
“Akibat rempuhan itu, keempat-empat remaja terbabit tercampak ke atas jalan dan Muhammad Afiq disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
“Tiga lagi remaja yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Dungun di sini bagi rawatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLOINE











