ISKANDAR PUTERI – Seorang jurukimpal menemui ajal apabila gagal mengawal motosikal Honda Wave yang dinaikinya ketika melalui takungan air di atas jalan raya di Kilometer 25 Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas di sini malam tadi.
Kejadian pada pukul 9.38 malam itu, mangsa, Kachang Anjang, 48, yang bekerja di Singapura itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal sendirian dalam perjalanan dari arah Gelang Patah menuju ke arah Mutiara Rini di sini.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya ketika merentasi jalan yang dipenuhi air takungan sebelum terbabas dan terjatuh ke sebelah kanan jalan.
“Akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Noor Hashim berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulai untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











