PULAU PINANG 19 Mei – Seorang pelancong warga Britian cedera selepas diserang sekumpulan lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan Penang, di sini awal pagi tadi.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, mangsa cedera pada bahagian leher selepas ditikam dengan sebilah pisau.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kejadian berlaku apabila sekumpulan lelaki warga tempatan bertengkar dengan mangsa bersama rakan-rakannya di tempat kejadian.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, seorang pelancong warga Britian menjelaskan dia melihat kumpulan lelaki berkenaan memukul mangsa sehingga jatuh dalam keadaan berlumuran darah.
“Sehingga kini polis telah menahan seorang lelaki berusia 38 tahun yang berasal dari Tanjung Bunga untuk membantu siasatan dan masih memburu beberapa suspek yang dipercayai terlibat,” katanya di sini hari ini.
Katanya, polis juga telah merampas pisau pemotong kertas yang digunakan dalam kejadian itu.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











