KUCHING 19 Mei – Seramai 8,000 warga agensi keselamatan dan penguat kuasa bakal menerima bungkusan kuih raya tanda penghargaan dan pengiktirafan sumbangan mereka memastikan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan kepada negara khususnya di negeri ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sumbangan tersebut merupakan acara tahunan yang dijalankan sejak 1990 lagi.
Katanya, dahulu hanya sebanyak 2,000 bungkusan kuih raya diberikan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun setiap tahun ianya ditambah mengikut keperluan.
“Sebanyak 8,000 bungkusan kuih raya akan diagihkan bermula 23 Mei ini yang akan dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada anggota keselamatan dan penguat kuasa yang bertugas ketika Hari Raya Aidilfitri kelak.
“Inilah cara kita untuk mengucapkan terima kasih dan pengiktirafan kerajaan negeri kepada mereka yang telah dan sedang berkorban masa malah nyawa demi memastikan keselamatan, kedaulatan dan keamanan negara khususnya di Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pembungkusan Sumbangsih Kuih Raya 2018 di Dewan Undangan Negeri Lama sebentar tadi.
Yang turut hadir, Setiausaha Tetap kementerian, Dr. Saadiah Abdul Samat, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga, Noriah Ahmad dan Pengerusi Badan Kebajikan Amal Angkatan Tentera (BAKAT) Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen), Datin Jacqueline Peris.
Kira-kira 250 sukarelawan terdiri daripada 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi keselamatan membantu membungkus kuih raya terdiri daripada kek hati parek, kek buah, serunding daging, biskut bawang, bahulu, muruku dan nasi himpit.
Tambah Fatimah, kos sumbangsih kuih raya itu berjumlah RM200,000 bagi 10 agensi yang mana menyaksikan dua penerima baharu iaitu Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan (Rela).
Sementara itu, Fatimah mengucapkan tahniah kepada kerajaan Persekutuan atas terbentuknya Kabinet yang akan mengangkat sumpah Isnin nanti.
“Kita berpendirian akan bekerjasama dalam sistem federalisme bagi membantu rakyat khususnya kumpulan sasaran seperti warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya dan golongan miskin.
“Mengikut rekod sehingga Mac lalu, kita mempunyai lebih 56,000 penerima bantuan bulanan kebajikan,” jelasnya,
Sehubungan itu, Fatimah berharap agar bantuan-bantuan dan program memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan itu dapat diteruskan disamping usaha pemerkasaan wanita. – UTUSAN ONLINE











