Rahsia Mahathir kekal sihat, aktif - Utusan Malaysia

Rahsia Mahathir kekal sihat, aktif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIKH 9 Mei lalu pasti akan dikenang sebagai detik paling bersejarah buat arena politik Malaysia.

Tsunami rakyat yang berlaku telah memberi kemenangan mengejut kepada Pakatan Harapan (PH) dan menamatkan pemerintahan Barisan Nasional selama 61 tahun. Kemenangan PH itu membolehkan Tun Dr. Mahathir Mohamad diangkat sebagai Perdana Menteri buat kali kedua.

Beliau juga mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri paling tua di dunia iaitu pada usia 92 tahun. Pada usia tersebut ramai pihak termasuk ahli akademik dan seteru politiknya meragui kudrat Mahathir untuk mentadbir negara ini.

Hakikatnya, Mahathir adalah insan istimewa dan berbeza berbanding individu lain seusia dengannya. Misalnya, bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton yang berusia 71 tahun sedang bertarung dengan komplikasi jantung.

Clinton yang mentadbir AS dari tahun 1993 hingga 2001 telah menjalani siri pembedahan untuk membersihkan arteri tersumbat dan memasukkan stent.

Nasib sama turut dilalui oleh bekas Presiden AS, George H.W Bush yang ketika ini terlantar di hospital akibat jangkitan dalam darah. Beliau yang berusia 94 tahun beberapa kali dimasukkan ke hospital sebelum ini akibat radang paru-paru dan sesak nafas.

Aktif

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon meninggal dunia pada tahun 2014 selepas menderita penyakit strok berdarah. Beliau meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Ketika insan seusianya menempuh waktu sukar melawan sakit atau menunggu detik kematian, sebaliknya Mahathir kekal aktif mengayuh basikal dan menunggang kuda.

Beliau juga masih mampu menjelajah ke seluruh negara hampir setiap hari untuk berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Setiap ceramah yang dihadiri menuntut Mahathir berdiri di atas pentas untuk tempoh hampir satu jam. Dalam ucapannya, jelas Mahathir masih memiliki fikiran yang tajam dan mampu mengingati setiap tarikh serta peristiwa secara terperinci.

Apakah faktor yang mendorong seseorang itu hidup aktif sehingga usia 90 tahun? Apakah gaya hidup dan amalan yang diamalkan?

Menurut Biro Bancian AS, bilangan penduduk berusia 90 tahun dan ke atas meningkat hampir tiga kali ganda dalam tempoh empat dekad.

Pada tahun 1980 jumlah mereka berusia 90 dan ke atas sekitar 720,000 orang sebelum meningkat kepada 1.9 juta pada tahun 2010.

Biro tersebut menjangkakan, dalam tempoh empat dekad akan ada lebih ramai penduduk berusia 90 tahun dan ke atas. Trend tersebut didorong oleh kesedaran penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat dan perkembangan teknologi perubatan. Dalam satu tinjauan di AS, rahsia seseorang itu mampu hidup sehingga usia 90 ialah mereka sentiasa bahagia dan sihat.

Laporan tersebut mendapati 25 peratus daripada mereka yang hidup lama adalah disebabkan faktor genetik selain mempunyai gaya hidup sihat. Sementara itu, lelaki berusia 70 tahun yang tidak pernah merokok, mempunyai tekanan darah baik dan berat badan ideal mempunyai peluang 50 peratus untuk hidup sehingga usia 90 tahun.

Amalan

Kepada Mahathir, tiada rahsia yang diamalkan untuk kekal sihat pada usia 92 tahun kecuali sentiasa mengamalkan hidup sihat. Beliau yang menunaikan solat dengan berdiri mengakui mempunyai beberapa amalan.

Mahathir gemar bersenam seperti berjalan atas treadmill, mengangkat dumbell pada waktu pagi dan latihan pernafasan.

“Jangan hisap rokok, minum arak dan makan terlalu banyak, itulah tiga perkara yang saya amalkan,” katanya kepada The Sunday Times tahun lalu.

Mahathir turut berkongsi petua yang diberikan oleh ibunya iaitu berhenti sewaktu tengah sedap menjamah makanan.

Jelas beliau, kecenderungan makan dan minum terlalu banyak boleh menyebabkan seseorang itu gemuk serta perut buncit.

Beliau juga sentiasa menjaga kesihatan jantung kerana ia merupakan organ penting. “Jantung bekerja sepanjang masa, dari dalam rahim lagi hingga akhir hayat. Jadi, sentiasa beringat dan elakkan daripada bekerja terlalu banyak.

“Saya sentiasa memastikan berat tidak melebih 64 kilogram. Apabila badan kecil, jantung dapat mengepam darah ke seluruh tubuh dengan mudah,” katanya yang masih boleh menyarung seluar yang dibeli empat dekad lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×