KSU perlu halang rasuah jadi epidemik dalam kementerian - Utusan Malaysia

KSU perlu halang rasuah jadi epidemik dalam kementerian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERDANA Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menunggu lama untuk bertindak selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru-baru ini dengan melakukan beberapa perubahan drastik.

Selepas mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali supaya bercuti berkuat kuasa serta-merta, beliau turut memendekkan kontrak Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Selain itu, siasatan berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga dibuka semula.

Dalam usaha untuk memperbetulkan semula pentadbiran negara, beliau telah mengadakan pertemuan dengan semua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian Isnin lalu bagi memberi penjelasan mengenai apa yang akan dilakukan kerajaan baharu khasnya dalam menentang rasuah dalam pentadbiran kerajaan.

Mesyuarat tersebut berlangsung kira-kira sejam setengah bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Zaid Ahmad memberitahu, sebarang perubahan dalam pentadbiran awam harus bermula di peringkat tertinggi.

“Mengikut hierarki, KSU merupakan pegawai paling tinggi di sesebuah kementerian selepas menteri. Sudah tentulah sebarang perubahan kena bermula daripada pucuk pimpinan barulah mereka yang ada di bawah akan mengikut,” katanya kepada Jurnal baru-baru ini.

Terdedah

Jelasnya, penjawat awam banyak terdedah kepada amalan salah guna kuasa termasuk rasuah kerana mereka merupakan pelaksana dasar kerajaan.

“Tidak kira pangkat, semuanya terdedah dengan perbuatan rasuah. Perbezaannya mungkin kuasa agak terhad di peringkat bawahan manakala pegawai lebih tinggi mempunyai lebih banyak kuasa.

“Apabila ada kakitangan awam yang tidak berintegriti, mereka akan mudah disogok dengan jumlah yang berbeza mengikut kedudukan pegawai di sesuatu organisasi,” katanya.

Oleh itu, katanya, adalah sangat penting untuk menerapkan nilai integriti dalam setiap kakitangan awam yang harus dimulakan daripada atas supaya pentadbiran kerajaan kita bersih daripada amalan rasuah.

Sementara itu, Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Ahmad Marthada Mohamed memberitahu, KSU mempunyai peranan besar dalam mencegah penularan gejala rasuah dalam agensi kerajaan.

“Mereka perlu tegas dalam memastikan kakitangan di bawahnya tidak terlibat dengan rasuah selain sentiasa mengingatkan kakitangan supaya tidak terlibat dengan salah laku tersebut.

“Selain itu KSU perlu mewujudkan mekanisme untuk menghalang ia daripada terus berleluasa.

“Saya lihat tindakan Tun Mahathir panggil semua KSU adalah untuk mengingatkan mereka berkaitan isu ini adalah bertepatan. Walaupun terdapat unit integriti di kebanyakan jabatan kerajaan, namun isu rasuah masih gagal dikawal.

“Ia sudah menjadi epidemik dan bukan lagi isu terpencil,” katanya.

Jelasnya, perkara tersebut perlu ditangani dengan tegas, lebih bersistematik serta tidak lagi mengamalkan konsep payung atau cuba melindungi kesalahan mana-mana kakitangan awam yang terlibat dengan salah laku.

Dalam pada itu, seorang KSU yang berpengalaman berkhidmat di tiga buah kementerian memberitahu, pemegang jawatan tersebut sememangnya mempunyai kuasa dalam menentukan kakitangan di bawahnya tidak terlibat dengan sebarang kes salah laku antaranya rasuah.

“Sepanjang masa memang kita tidak berkompromi dengan isu integriti dan mana-mana penjawat awam yang didapati melakukan kesalahan akan diambil tindakan,” katanya yang enggan dikenali.

Jelasnya, terdapat perintah am serta pekeliling di dalam jabatan kerajaan sebagai panduan serta perlu dipatuhi untuk setiap kakitangan awam.

Menurut beliau, semua pegawai kerajaan tertakluk dengan beberapa akta antaranya Akta Prosedur Kewangan 1957 yang menggariskan secara jelas untuk mengelakkan berlakunya sebarang penyelewengan.

“Pemberian tender dibuat secara tender terbuka bagi memastikan setiap projek yang diberikan kepada pihak ketiga diluluskan secara telus,” katanya.

Jelasnya, jika pengurusan dilakukan dengan telus di setiap peringkat, setiap salah laku penjawat awam dapat dikesan dan mereka boleh dikenakan tindakan mengikut kesalahan yang dilakukan.

“Sepatutnya kerja di jabatan kerajaan adalah mudah sebab ada panduan untuk setiap tindakan tetapi jika ada yang gagal mengikut peraturan ditetapkan maka orang tersebut perlu berhadapan dengan tindakan. Paling teruk mereka boleh dibuang kerja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×