KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) akan mengembalikan bayaran penuh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada pelanggan bagi tempoh 18-31 Mei 2018 sebelum GST berkadar sifar dilaksanakan pada 1 Jun ini.
Pengembalian GST itu termasuk yang membeli, melakukan servis serta pembelian alat ganti kereta jenama itu.
Malah, bermula hari ini, para pelanggan Perodua akan menerima rebat tunai segera sebanyak 6 peratus bagi kenderaan yang diservis.
Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, pengeluar kereta itu akan memulangkan sepenuhnya jumlah GST itu secara tunai kepada pelanggan yang mendaftar atau untuk tujuan servis selain pembelian alat ganti.
“Inisiatif rebat GST itu memaparkan komitmen kami yang sentiasa mengutamakan pelanggan. Mereka yang berminat boleh mengunjungi 179 cawangan jualan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.










