PONTIAN – Hari pertama Ramadan disambut dengan penuh dugaan oleh tiga keluarga apabila rumah mereka dimasuki air akibat banjir kilat dalam kejadian di Kampung Ulu Pulai, Pekan Nanas di sini kelmarin.
Seorang mangsa, Faridah Abu, 53, berkata, air pada paras lutut memasuki rumah mereka pada waktu sahur selepas kawasan itu dilanda hujan lebat pada sebelah petang.
Katanya, air yang melimpah dari Sungai Pulai yang terletak kira-kira 500 meter daripada rumah mereka memburukkan lagi keadaan ditambah sistem saliran yang tidak sempurna.
“Ini merupakan kejadian paling buruk berlaku sejak saya menetap di sini 12 tahun lalu bagi menjaga orang tua yang uzur. Kami terpaksa menaiki sampan untuk dipindahkan ke rumah saudara di kawasan berdekatan kerana air semakin naik pada waktu malam.
“Banjir kilat telah melanda beberapa kali pada bulan ini sahaja menyebabkan kami sekeluarga merasa kecewa dan penat kerana perlu membersihkan rumah selepas air surut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.










