BANGKOK 18 Mei – Malaysia bukan lagi lawan yang digeruni kebanyakan pencabar utama Piala Thomas kali ini, namun situasi itu tidak sedikit pun melemahkan semangat pasukan negara untuk melakar kejutan di Bangkok.
Ketua Jurulatih Perseorangan badminton kebangsaan, Datuk Misbuk Sidek mengakui, keputusan menurunkan ramai pemain muda meletakkan Malaysia dalam kedudukan underdog.
Katanya, kegagalan mempertahankan gelaran juara berpasukan dalam Sukan Komanwel Gold Coast bulan lalu juga menyerlahkan kerapuhan Malaysia dalam persaingan berpasukan, biarpun temasya itu menampilkan cabaran berbeza kerana adalah untuk acara berpasukan campuran.
Begitupun, beliau percaya, skuad yang dibawa ke Bangkok mempunyai keupayaan untuk melakar kejutan, dan mampu mengulangi keputusan Piala Thomas di New Delhi 2014, yang mana Malaysia berjaya ke final walaupun membariskan pasukan yang dianggap lemah.
“Kalau dilihat kekuatan Malaysia, memang (Datuk) Lee Chong Wei nampak terlalu unggul, sedangkan pemain-pemain lain memiliki keupayaan hampir sama.
“Namun, semua pemain dipersiapkan dengan baik untuk menghadapi Piala Thomas. Daripada 30 juta orang yang ada di Malaysia, ini adalah yang terbaik kita ada.
“Situasi kali ini hampir sama dengan di New Delhi pada 2014, kita jauh ketinggalan dari segi ranking dan kita datang sebagai underdog, tetapi status underdog itu sangat penting kerana mengurangkan tekanan.
“Apa yang penting bukan ‘dipandang’ pasukan lain, tetapi semangat juang yang ditunjukkan untuk memberi cabaran terbaik kepada lawan yang lebih kuat,” kata Misbun ketika ditemui sewaktu sesi latihan di Badminton Hippocampus, di sini hari ini.
Kata Misbun lagi, walaupun pasukan Malaysia kali ini dibarisi tiga generasi berbeza, namun beliau tidak menghadapi masalah membentuk keserasian dan semangat dalam kalangan pemain.
Beliau percaya, Chong Wei pemain paling senior dalam pasukan mampu memimpin muka baharu seperti Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao dengan dibantu Iskandar Zulkarnain Zainuddin.
Biarpun beliau tidak pasti apakah yang mampu ditampilkan pemain-pemain muda ini apabila persaingan sebenar bermula, namun melihat kepada reaksi mereka dalam sesi latihan pertama hari ini ternyata mereka sudah bersedia untuk menyahut cabaran Piala Thomas.
“Selepas menjalani sesi pertama latihan hari ini, pemain sudah dapat merasai bahang kejohanan dan ini bagus untuk pemain muda yang tidak memiliki pengalaman beraksi di pentas besar.
“Saya lihat, semua sudah bersedia dan bersemangat untuk bermain. Biarpun ramai yang kata mereka tidak bagus, malah peluang India dikatakan lebih cerah berbanding Malaysia tetapi apa sahaja boleh berlaku di dalam gelanggang.
“Kita cuba untuk ke separuh akhir seperti yang disasarkan tetapi saya pesan kepada pemain jangan terlalu optimis dan fikir banyak, kita harungi cabaran satu persatu,” katanya lagi.
Malaysia dijangka tidak menghadapi masalah melangkah ke suku akhir dengan mencari slot dua terbaik dalam Kumpulan D yang turut dibarisi juara bertahan Denmark, Rusia dan Algeria.
Pasukan negara, yang kali terakhir menjulang Piala Thomas pada 1992 akan memulakan kempen dengan menentang Rusia pada Isnin ini. – UTUSAN











