Pasca-PRU bukan zaman baharu - Utusan Malaysia

Pasca-PRU bukan zaman baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Mei – Pertubuhan Pribumi Per­kasa Malaysia (Perkasa) menegaskan, pertubuhan bu­kan kerajaan (NGO) itu tidak memerlukan tunjuk ajar pihak tertentu dalam perjuangannya memelihara kepentingan kaum Melayu dan bumiputera.

RUHANIE AHMAD

Pemangku Presiden Perkasa, Datuk Ruhanie Ahmad menegaskan, pasca-Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak bermakna negara kini berada di zaman baharu yang menyebabkan kesamarataan boleh dilaksana tanpa mengambil kira status bumiputera sebagai kaum majoriti dan bangsa teras.

Sebaliknya, kata beliau, keputusan PRU-14 hanya mencerminkan proses demokrasi dengan membenarkan rakyat menukar pemerintah iaitu daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).

Jelas Ruhanie, pihaknya turut bersyukur kerana kerajaan PH di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertekad untuk terus memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

“Lantaran itu, tidak perlu untuk pihak tertentu menuduh Perkasa yang berjuang mene­gakkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, sebagai NGO rasis dan tidak relevan di era pasca-PRU-14.

“Kami berjuang demi negara dan rakyat jelatanya yang maj­muk manakala aktiviti Perkasa memfokus kepada keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, kesucian Islam, keunggulan bahasa Melayu, perpaduan nasional, kedaulatan dan integriti negara, keselamatan sosioekonomi bumiputera, ketelusan dan antirasuah, kemantapan politik negara, dan keselamatan nasional,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian untuk menjawab dakwaan Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Brigedier Jeneral (B) Datuk Mohamed Arshad Raji yang melabel rayuan Perkasa berhubung jawatan Menteri Kewangan tidak diberikan kepada kaum bukan Melayu sebagai rasis.

Ruhanie yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Pemerkasaan Agenda Bumiputera Perkasa turut mempersoalkan, jika rayuan berkenaan disifatkan sebagai rasis, mengapa tuntutan mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua untuk kaum bukan Melayu tidak dilabel serupa.

Ujarnya, Perkasa tidak akan berkompromi dalam semua hal yang membawa kepada perubahan status quo kerana ia jelas menjejaskan identiti nasional dan mengancam kelangsungannya.

“Kalau tidak berani bertegas mengenai perkara di atas, jangan cabar dan tuduh Perkasa yang mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dalam konteks jati diri, perpaduan, ke­langsungan dan keselamatan nasional sebagai rasis dan tidak re­levan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×