Lima trak bawa keluar barang siasatan 1MDB - Utusan Malaysia

Lima trak bawa keluar barang siasatan 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Mei – Polis mengambil masa lebih dua jam dan menggunakan lima buah trak untuk membawa keluar barang­an berkaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari sebuah unit kondominium di The Pavilion Residence, di sini hari ini.

AMAR SINGH ISHAR SINGH
AMAR SINGH ISHAR SINGH

Selain dokumen, barangan lain yang dibawa keluar ialah 72 bagasi berisi barang kemas, barangan berharga dan mata wang pelbagai negara serta 284 kotak berisi tas tangan mewah antaranya Hermes, Birkin dan Louis Vuitton.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, siasatan pihaknya mendapati unit kondominium mewah itu milik individu bergelar Tan Sri.

“Kita belum dapat mengesahkan jumlah wang tersebut kerana perlu dikira dengan teliti. Namun nilai keseluruhannya besar,” katanya dalam sidang akhbar di bawah kondominium mewah tersebut.

Jelas Amar Singh, kondominium tersebut adalah satu daripada enam lokasi yang diperiksa polis ia­itu di pe­jabat Perdana Menteri, kediaman rasmi bekas Perdana Menteri dan empat kediaman persendirian Datuk Seri Najib Ra­zak.

Sebelum itu, sekitar pukul 4.40 petang semalam, sebuah trak polis dilihat keluar dari kediaman rasmi Najib di Jalan Langgak Duta, di sini.

Amar Singh juga mengesahkan pihaknya telah mengambil beberapa barangan di kediaman rasmi bekas Perdana Menteri dan juga di pejabat bekas Perdana Menteri.

Mengulas mengenai tempoh pemeriksaan yang lama, beliau menjelaskan, kes yang sedang disiasat ini menjadi perhatian umum dan perlu dilakukan de­ngan teliti.

“Kita melakukan pemeriksaan dengan cukup teliti dan secara profesional sejak dua hari yang lepas.

“Setakat ini, proses pe­meriksaan berjalan dengan lancar dan kita telah mendapatkan borang geledah di setiap premis,” kata­nya.

Sementara itu, satu laporan polis mengenai barangan yang dirampas di kediaman bekas Presiden UMNO itu dikesan tersebar di aplikasi WhatsApp hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Amar Singh Ishar Singh dalam satu kenyataan kepada portal Malaysiakini meminta supaya tidak menyebarkan laporan berkenaan, namun usaha Utusan Malaysia untuk mendapat pengesahan lanjut daripada Amar Singh mengenai laporan polis tersebut gagal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×