PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksikan detik baharu buat negara dengan pertukaran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berjalan tanpa insiden tidak diingini berlaku.
Angin perubahan tersebut turut dirasai di seluruh negara termasuk Bumi Kenyalang yang selama ini menjadi deposit tetap Barisan Nasional (BN) apabila parti itu hilang lebih banyak kerusi. Pada PRU-14 BN hanya menang 19 kerusi berbanding 25 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri ini pada PRU-13 yang lalu.
DAP menang enam kerusi yang menyaksikan pertambahan satu kerusi di Mas Gading manakala PKR mendapat empat kerusi dengan pertambahan tiga lagi kerusi iaitu di Puncak Borneo, Saratok serta Selangau. Dua calon Bebas, Larry Sng dan Jugah Muyang pula memenangi di Julau dan Lubok Antu dan mereka kemudian menyertai PH.
Antara punca utama kekalahan enam kerusi BN di Sarawak secara umumnya amat berkaitan dengan isu nasional antaranya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Pelaksanaan cukai itu kemudian dikaitkan dengan kenaikan kos sara hidup serta duit rakyat yang didakwa dicuri oleh kerajaan.
Di samping itu, protes terhadap pemilihan calon juga dilihat menyumbang kepada kekalahan BN. Contoh terbaik kekalahan calon-calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) di tiga daripada enam kerusi (Lubok Antu, Selangau dan Julau) berikutan pemecatan mengejut penyandang dua kerusi mereka iaitu Datuk Joseph Entulu Belaun (Julau) dan William Nyalau Badak (Lubok Antu).
Yang pasti, rakyat telah membuat pilihan mereka dan kini BN Sarawak ditunjangi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), PRS dan Parti Demokratik Progresif (PDP) akan meneruskan tugas sebagai kerajaan negeri untuk rakyat Sarawak.
Timbul juga spekulasi yang mana dikatakan kerajaan negeri mahu menyertai PH namun perkara itu telah pun telah dinafikan Pengerusi BN Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Namun, satu mesyuarat khas akan dibuat antara semua komponen BN Sarawak bagi khusus membincangkan tentang kedudukan mereka dalam BN.
Mesyuarat penting itu yang masih belum ditetapkan tarikh akan menentukan masa depan kerajaan negeri sama ada kekal bersama BN atau memilih sebagai parti bebas berasaskan gabungan bersatu Sarawak.
Sekiranya mereka mengambil keputusan keluar daripada BN demi masa depan Sarawak dan rakyatnya sudah tentu situasi itu memberi tamparan berat buat pakatan parti pembangkang terbesar di negara ini.
Namun jika mereka mengambil keputusan untuk kekal bersama BN sudah tentu keadaan itu agak sukar untuk Sarawak. Sungguhpun begitu tidak mustahil mereka bangkit bersama dan paling utama mendapatkan semula hak-hak Sarawak.
Hak-hak Sarawak yang mahu dituntut adalah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah termaktub yang perlu dikembalikan oleh kerajaan Persekutuan.
Malah dalam Manifesto PH peringkat nasional sendiri berjanji antaranya mengembalikan status Sabah dan Sarawak berteraskan MA63 serta menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan MA63.
Tetapi dalam sidang akhbar Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen semalam pula menyatakan tawaran mereka untuk mengembalikan hak Sarawak di bawah MA63 kepada kerajaan negeri Sarawak tidak akan diteruskan disebabkan BN Sarawak enggan menandatangani tawaran dicadangkan mereka sebelum PRU-14.
Apa-apa pun langkah kerajaan negeri berikutnya, segala-galanya terletak kepada keputusan yang akan dibuat dalam mesyuarat penting BN Sarawak yang mana sudah pasti perkara pokok dalam pertimbangan mereka adalah mengembalikan hak negeri Sarawak bagi memastikan masa depan negeri dan rakyatnya terus terjamin.











