WASHINGTON 18 Mei – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi jaminan bahawa Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un akan kekal berkuasa selepas melucutkan senjata nuklear dalam usaha Trump memastikan sidang kemuncak kedua-dua negara pada bulan depan itu menjadi kenyataan.
Ketika prospek merealisasikan sidang kemuncak bersejarah itu semakin suram, Trump memberitahu pemberita bahawa sekiranya pertemuan itu berjaya, Jong-un bakal mendapat pelindungan yang akan menjadikannya sangat kuat.
“Jong-un akan mentadbir negaranya dan Korea Utara akan menjadi sangat kaya,” kata beliau.
Bagaimanapun, janji Trump itu juga diserta dengan amaran sekiranya diplomasi berkenaan gagal, Jong-un akan mengalami nasib serupa seperti bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang ditumbangkan dan dibunuh oleh kumpulan pemberontak.
Kenyataan Presiden AS itu dibuat ketika Pyongyang kelihatan tidak lagi berminat untuk mengadakan rundingan di Singapura pada 12 Jun ini, dengan memberikan alasan bahawa Amerika hanya menuntut pelucutan senjata nuklear secara unilateral.
Trump berpendapat bahawa pendirian Jong-un dipengaruhi oleh Presiden China, Xi Jinping.
“Kemungkinan besar Jinping mempengaruhi Jong-un. Kita akan lihat apa yang bakal berlaku,” kata Trump, merujuk kepada mesyuarat terbaharu antara kedua-dua pemimpin China dan Korea Utara, berlangsung sebanyak dua kali dalam tempoh sebulan.
Meskipun sidang kemuncak antara Trump dan Jong-un masih samar persediaan untuk penganjurannya masih berterusan.
“Korea Utara sebenarnya berbincang dengan kami tentang masa dan segala-galanya seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Kami terus berunding tentang lokasi, tentang di mana pertemuan akan di- lakukan, bagai- mana untuk bertemu, bilik dan se- gala-gala- nya,” kata Trump.










