KUALA LUMPUR 18 Mei – Dua penjenayah maut manakala empat lagi ditahan selepas terlibat dalam kes samun di sebuah kedai barangan kemas di pusat beli belah di Damansara Jaya, dekat sini petang tadi.
Video MEDIA SOSIAL
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, lapan suspek yang menaiki empat motosikal dikatakan meluru masuk ke pusat membeli belah tersebut dengan memakai topi keledar penutup penuh menuju ke kedai barangan kemas tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, sebaik sahaja penjenayah cuba melarikan diri dengan barangan kemas tersebut, sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Bahagian Jenayah Berat (D9) terserempak dengan mereka.
“Penjenayah tersebut cuba menyerang polis menyebabkan kita tidak mempunyai pilihan selain melepaskan tembakan ke arah suspek. Dua daripada mereka ditembak mati manakala seorang terkena dua das tembakan di badan.
“Sementara tiga lagi penjenayah berjaya ditahan di lokasi kejadian. Buat masa ini kita sedang mengesan saki baki penjenayah yang terlibat dalam kes ini,” katanya, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










