Lelaki warga emas maut, Proton Iswara bertembung dengan Nissan Navara - Utusan Malaysia

Lelaki warga emas maut, Proton Iswara bertembung dengan Nissan Navara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIBU – Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Batu 12, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa, Kong Mok Nam, 80, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback dikatakan dalam perjalanan dari arah Sibu Jaya menuju ke pusat bandar Sibu.

Bagaimanapun katanya, tindakan warga emas itu memandu melawan arus telah mengakibatkan keretanya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara.

“Impak perlanggaran kuat itu telah menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan parah.

“Pemandu Nissan Navara yang berusia 54 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×