TELUK INTAN 18 Mei – Rasa tidak sedap hati seorang guru untuk menanggalkan topi keledar telah menyelamatkan nyawanya daripada menjadi korban dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Mohammad, Selekoh di Bagan Datuk semalam.
Redhuan Embi, 32, yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rungkup berkata, dia sering menanggalkan topi keledar apabila hampir sampai ke kawasan rumahnya di kampung berkenaan kerana jalan tersebut sunyi dan tiada banyak kenderaan lalu lalang.
Namun, kata Redhuan, ketika kejadian dia merasa tidak sedap hati dan terus memakai topi keledar sebaik sesi persekolahan tamat pada kira-kira 2.15 petang.
“Ketika dalam perjalan balik, saya ternampak suspek sedang berjalan sambil membawa sebilah parang panjang dari arah bertentangan.
“Belum sempat saya menyapanya, tiba-tiba dia terus meluru dan melibas parang hinggap di bahagian pipi sebelah kanan saya. Mujur saya masih pakai topi keledar, kalau tidak melayang nyawa saya,” katanya ketika ditemui di rumah mertuanya di Kampung Bahagia di sini hari ini.
Akibat kejadian tersebut, Redhuan yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam menerima 60 jahitan di bahagian pipinya.. – UTUSAN ONLINE










