KOTA BHARU 18 Mei – Kempen kitar semula digerakkan oleh Enda Food Industries Sdn. Bhd. (Enda Food), syarikat pengeluar makanan tempatan yang beroperasi di Pengkalan Chepa, di sini berjaya mengutip sebanyak 2.7 juta beg plastik terpakai dalam tempoh lima tahun.
Pengurus syarikat itu, Wong Khan Wei berkata, program kitar semula tersebut bermula pada 2013 dengan tumpuan diberi terhadap usaha mengutip semula beg plastik produk-produk makanan keluaran Enda Food yang dibeli oleh pengguna.
Kata beliau, pihaknya berjaya mengutip sebanyak 420,000 beg plastik pada 2013 diikuti sebanyak 48,000 beg pada 2014; 550,000 beg pada 2015; 610,000 beg pada 2016 dan 640,000 beg pada 2017.
“Jumlah terkumpul 2.7 juta merupakan angka yang besar, namun ini hanya peratusan kecil beg plastik yang dapat dikumpul oleh syarikat kami, manakala sejumlah besar lagi tidak dapat dikumpulkan.
“Walaupun sudah lima tahun berlalu, program ini masih diteruskan sehingga hari ini bagi memastikan kita berjaya mencapai matlamat iaitu mengurangkan kadar pembuangan plastik dan menimbulkan kesedaran kepada pengguna mengenai pentingnya amalan kitar semula,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan hasil jualan beg plastik, di sini baru-baru ini.
Sebanyak RM11,200 berjaya dikumpulkan menerusi jualan semula beg plastik yang dikitar semula dan wang tersebut kemudiannya disumbangkan sama rata kepada empat pesakit buah pinggang yang kurang bernasib baik. – UTUSAN ONLINE










