Keluarga larang Nik Omar jadi imam di Masjid Tok Guru - Utusan Malaysia

Keluarga larang Nik Omar jadi imam di Masjid Tok Guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 18 Mei – Keluarga Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan melarang Nik Omar, anak kedua bekas Menteri Besar itu menjadi imam dan menyampaikan kuliah di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka berkuat kuasa hari ini.

Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Nik Omar ketika menyampaikan kuliah pagi Jumaat di hadapan kira-kira 100 hadirin di Wisma Tok Guru, Salor yang juga merupakan markas PAN Kelantan, di sini pagi ini.

Katanya, mengikut jadual penggiliran tidak rasmi dibuat bersama adik beradik, beliau sepatutnya menjadi imam pada waktu-waktu tertentu dan pagi Jumaat merupakan gilirannya menjadi imam serta menyampaikan kuliah Subuh.

“Cuma subuh tadi, adik ambo Ustaz Nik Abduh, naik jadi imam dan terus beri kuliah. Selepas itu dia bersalam, dan ambo cuma kata, tak apa ke bersalam, tak najis ke ambo ni?

“Dia kata ini keputusan keluarga, ambo tidak dibenarkan jadi imam dan bagi kuliah di situ lagi,” katanya.

Menurut Nik Omar, larangan itu boleh dianggap sebagai harga yang perlu dibayar kerana membuat keputusan menyertai Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, beliau menegaskan sudah membuat keputusan muktamad dan tidak akan sekali-kali berpatah balik.

“Insya-Allah ambo sebut, kalau sudah pergi, tidak undur ke belakang,” katanya.

Nik Omar yang kelihatan sedih hanya bercakap 10 minit dalam kuliah tersebut dengan alasan beliau ‘letih’. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×