KUALA LUMPUR 18 Mei – Sebuah syarikat keselamatan didenda RM3,600 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana gagal membayar upah kerja lebih masa dan pada hari kelepasan am kepada empat pekerja, dua tahun lalu.
Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman denda itu terhadap syarikat Shelter Security Services Sdn. Bhd. yang diwakili pengarah urusannya, Zainal Abidin Md. Kasim selaku orang kena saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan itu.
Mahkamah turut memerintahkan OKS untuk menjalani hukuman penjara selama 39 hari jika gagal membayar denda itu. OKS membayar denda tersebut.
Syarikat itu didakwa gagal membayar upah berkenaan termasuk hari kelepasan am membabitkan Hari Pekerja dan Hari Raya Aidilfitri terhadap empat pekerjanya iaitu Siti Hapidah Jawaji, 60, Siti Aminah Lachemy Abdullah, 41, Nek Salleh A. Rahman, 59 dan Maskuri Shafie, 61.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 7 Mac 2016 dan 7 Ogos 2016 di syarikat itu di Desa Pandan, di sini mengikut Seksyen 60D(3)(a) Akta Kerja 1959 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 99A akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap pekerja.
Terdahulu, Zainal Abidin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda ringan kerana ia merupakan kesalahan pertama.
“Saya mengaku kesalahan ini,” katanya.
Pegawai Pendakwa, Haslynda Ab. Razak dari Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Wilayah Persekutuan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap syarikat itu.
Mengikut fakta kes, pada 10 Julai 2016 pukul 11 pagi, sepasukan anggota JTK telah melakukan pemeriksaan di syarikat itu dan mendapati syarikat tersebut gagal mematuhi pengiraan kadar bayaran kerja lebih masa dan upah kerja pada hari kelepasan am kepada keempat-empat pekerjanya itu. – UTUSAN ONLINE










