KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) hari ini menyatakan sokongan terhadap pentadbiran kerajaan baharu yang memberi kebebasan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tanpa campur tangan politik.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zakaria Arshad berkata, jaminan itu dinyatakan sendiri oleh Majlis Penasihat Kerajaan (Majlis Penasihat) dalam satu pertemuan dengan kumpulan itu dan beberapa pihak lain di sini hari ini.
“Saya tidak mahu komen mengenai ahli politik yang terlibat (dalam kumpulan) sebelum ini (kerana) yang sudah lepas, biarkanlah berlalu.
“Kita telah diberi jaminan (oleh Majlis Penasihat) bahawa tiada lagi campur tangan pihak politik selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada Majlis Penasihat itu berhubung operasi dan pentadbiran kumpulan itu.
Turut hadir memberi taklimat adalah Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman, bekas Pengarah Urusan Felda, Datuk Hanapi Suhada, Pengerusi Felda Investment Corporation Sdn. Bhd., Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Bhd., Datuk Zulkarnain Md. Eusope. – Bernama










