TELUK INTAN – Seorang lelaki yang ditahan selepas dipercayai menetak tiga beradik sehingga maut di Kampung Sungai Haji Muhamad Bagan Datuk dekat sini petang semalam disahkan positif dadah jenis syabu dan ganja.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki berusia 35 tahun itu positif dua jenis dadah.
Jelasnya, siasatan awal mendapati, sewaktu kejadian suspek berada di bawah pengaruh dadah namun masih dalam keadaan sedar.
“Kita percaya suspek khayal sewaktu kejadian namun perbuatannya tidak menunjukkan dia sedang berkhayal. Lelaki itu juga tahu sasarannya iaitu mangsa yang terlibat sebelum melakukan pembunuhan.
“Polis berjaya menahan pekerja penyelenggara itu sewaktu dia berada di dalam Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad selepas suspek menetak dua pelajar sekolah dan seorang awam di situ,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini.
Menurut Mohd. Marzukhi, dalam kejadian itu, suspek menetak ketiga-tiga beradik iaitu Mohammad Faqhqih Zahirulhaq Mohd. Fadzil, 5, dan dua adiknya, Nur Ziah Fasihah, 2, dan Muhanmad Firash Zaffril, 3, sehingga maut serta ibu mereka Zuraidah Md. Ali, 35, sehingga cedera parah.
Jelasnya, suspek kemudiannya berjalan kaki ke sekolah tersebut yang terletak kira-kira 80 meter dari tempat kejadian pertama.
Tambahnya, lelaki itu bertindak menetak kakak mangsa, Nur Zuryn Faziera,9, dan rakannya serta seorang orang awam yang kebetulan lalu di kawasan tersebut.
“Polis bagaimanapun berjaya menahan suspek hanya kira-kira 45 minit selepas kejadian tersebut.
“Sebelum kejadian, suspek telah datang ke rumah mangsa yang terletak kira-kira 400 meter dari rumahnya dengan menunggang motosikal,” katanya. – K! ONLINE










