KUALA LUMPUR 18 Mei – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menegaskan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu tidak memerlukan tunjuk ajar pihak tertentu dalam perjuangannya memelihara kepentingan kaum Melayu dan bumiputera.
![]() |
|
RUHANIE AHMAD
|
Perkara itu telah disuarakan sendiri oleh Pemangku Presiden Perkasa, Datuk Ruhanie Ahmad yang menyifatkan bahawa pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak bermakna Malaysia kini berada di zaman baharu yang menyebabkan kesamarataan boleh dilaksana tanpa mengambil kira status bumiputera sebagai kaum majoriti dan bangsa teras.
Sebaliknya, kata beliau, keputusan PRU-14 hanya mencerminkan proses demokrasi telah membenarkan rakyat menukar pemerintah iaitu daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).
Jelas Ruhanie, pihaknya turut bersyukur kerana kerajaan PH di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tekad untuk terus memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.
“Lantaran itu, tidak perlu untuk pihak tertentu menuduh Perkasa yang berjuang menegakkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, sebagai NGO rasis dan tidak relevan di era pasca PRU-14.
“Kami berjuang demi negara dan rakyat jelatanya yang majmuk manakala aktiviti Perkasa memfokus kepada keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, kesucian Islam, keunggulan Bahasa Melayu, perpaduan nasional, kedaulatan dan integriti negara, keselamatan sosioekonomi bumiputera, ketelusan dan anti-rasuah, kemantapan politik negara, dan keselamatan nasional,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian untuk menjawab dakwaan Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Brigadier Jeneral (B) Datuk Mohamed Arshad Raji yang melabel rayuan Perkasa berhubung jawatan Menteri Kewangan tidak diberikan kepada kaum bukan Melayu sebagai rasis. – UTUSAN ONLINE











