Pekerja penyelenggara direman berhubung kes bunuh tiga beradik - Utusan Malaysia

Pekerja penyelenggara direman berhubung kes bunuh tiga beradik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN – Seorang pekerja penyelenggara direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tiga beradik yang maut  akibat ditetak dengan parang di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh di Bagan Datuk dekat sini semalam.

Suspek berusia 35 tahun itu direman seminggu sehingga 24 Mei ini dan perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Syahdatul Kamila Zakaria di Mahkamah Majistret Teluk Intan di sini hari ini.

Terdahulu, suspek yang tiba kira-kira pukul 8.55 pagi di perkarangan mahkamah yang berpakaian lokap warna oren dikawal ketat oleh anggota polis

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisoner Yahya Abd. Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, tiga beradik berusia antara dua hingga lima tahun maut selepas ditetak oleh seorang lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Beliau berkata, lelaki terbabit yang merupakan kenalan kepada keluarga mangsa telah menceroboh rumah keluarga berkenaan dengan bersenjatakan parang lalu melibas ketiga-tiga kanak-kanak itu Nur Ziah Fasihah Mohd. Fadzil, 2, Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Muhammad Faqhqih Zahirul Haq, 5, hingga mengakibatkan kematian.

Katanya, kejadian itu turut mengakibatkan empat lagi parah, termasuk ibu mereka, Zuraidah Md. Ali, 35, dan kakak sulung ketiga-tiga mangsa Nur Zurin Faziera, 9, seorang murid sekolah yang dikenali Aina, 9 serta seorang guru sekolah dikenali sebagai Ustaz Ridzuan, 40.

Beliau berkata, polis berjaya menahan suspek kira-kira 45 minit kemudian di dalam Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Muhammad, tidak jauh dari rumah mangsa, hasil maklumat orang awam dan telah merampas parang digunakan suspek. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×