KUCHING 18 Mei – Tindakan pantas polis berjaya menangkap seorang suspek semalam setelah dipercayai merogol remaja perempuan di sebuah bilik rumah kediaman pekerja di Kenyalang Park di sini pada Rabu lalu.
Dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, pintu bilik mangsa dipecah masuk dua lelaki tempatan tidak dikenali sebelum mengambil dompet dan telefon bimbit malah salah seorang penjenayah mengacu pisau dan merogolnya.
Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ng Ah Lek, tangkapan tersebut dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) diketuai Asisten Superintenden Ooi Jin Bing bagi menangkap seorang suspek lelaki tempatan berusia 32 tahun.
“Serbuan dijalankan semalam pada pukul 12.10 tengah malam di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Manggis.
“Suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut disamping polis masih mengesan seorang lagi rakan jenayahnya yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, kawan kepada teman serumah mangsa terserempak dengan penjenayah lalu berlaku pergelutan namun dokumen peribadi suspek berjaya ditemukan ketika cuba melarikan diri.
Mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut dan disahkan kejadian rogol.
Tambah Ah Lek, beliau menyeru sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat berkenaan rakan suspek diminta tampil bekerjasama bagi tindakan lanjut.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










