PUTRAJAYA 18 Mei – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull diharap dapat menyempurnakan amanah, tanggungjawab dan harapan rakyat bagi merealisasikan negara ini bebas daripada jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, seluruh warganya mengalu-alukan perlantikan Mohd. Shukri bagi meneraju suruhanjaya tersebut.
“SPRM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada beliau atas pelantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya yang baharu,” katanya di sini hari ini.
Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam mengesahkan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM diisi Mohd. Shukri yang merupakan bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) suruhanjaya itu ekoran peletakan jawatan penyandang terdahulu, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.
Perdana Menteri berkata, beliau juga mengkaji dan menimbang peranan sesuai untuk diberikan kepada bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Mohd. Shukri telah berkhidmat selama 32 tahun bersama SPRM sebelum bersara awal pada 31 Julai 2016. – UTUSAN ONLINE










