Raja Perlis rai sambutan ulang tahun bersama kerabat, pemimpin masyarakat - Utusan Malaysia

Raja Perlis rai sambutan ulang tahun bersama kerabat, pemimpin masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 18 Mei – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan meraikan sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan baginda yang ke-75 dengan meraikan kerabat diraja, para pembesar serta kepimpinan negeri dan masyarakat dalam majlis iftar, solat maghrib, isyak dan sunat tarawih secara berjemaah di Istana Arau, di sini semalam.

Berangkat mengiringi baginda ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut diadakan ialah penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada 11 buah rumah kebajikan Islam, berjumlah RM33,000 sempena program ihya Ramadan, yang bakal dilaksanakan di sepanjang bulan mulia itu.

Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyempurnakan pengurniaan cek-cek tersebut dengan masing-masing diperuntukkan sebanyak RM3,000.

Rumah-rumah itu yang terdiri daripada rumah anak yatim, rumah perlindungan asnaf dan kanak-kanak serta rumah warga emas di seluruh negeri ini adalah Rumah Seri Kenangan, Jejawi Perlis; Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis; Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mak Teh, Kangar; Pusat Jagaan Hembusan Kasih, Arau; Pusat Jagaan Anak Yatim Darul Falah Ummi Aisyah, Kangar.

Selain itu, Pusat Jagaan Teratak Rahmat, Persatuan Al-Islah Perlis; Rumah Anak Yatim Yayasan Saad, Perlis; Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Rumah Teduh, Kangar; Rumah Kanak-Kanak, Kangar; Rumah Sejahtera Baitul Hanan, Behor Mali dan Pusat Jagaan Rumah Sejahtera, Batu Bertangkup.

Pada majlis tersebut, Tuanku Tengku Fauziah juga berkenan menerima sumbangan cek bernilai RM400,000 daripada Yayasan Harmoni yang dipersembahkan oleh Pengarahnya, Datuk Mohd. Radzuan Abdullah kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada warga emas dari Rumah Seri Kenangan Jejawi dan Rumah Sejahtera Bohor Mali selain anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mak Teh Perlis, Rumah Kanak-Kanak Arau, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis dan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Rumah Teduh, para pesara warga kerja istana dan juga rakan media yang hadir.

Turut diadakan pada majlis tersebut ialah tazkirah khas yang disampaikan oleh Mufti negeri, Prof. Mayda Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Untuk rekod, sambutan rasmi Hari Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Syed Sirajuddin dan kelepasan am bagi negeri ini telah diperkenankan oleh baginda untuk diubah pada 17 Julai bermula tahun ini sehingga 2021 bagi memberi laluan untuk umat Islam melipatgandakan ibadah di bulan Ramadan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×