Wozniacki, Halep, Sharapova mara ke suku akhir - Utusan Malaysia

Wozniacki, Halep, Sharapova mara ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROME 18 Mei- Pemain nombor dua dunia, Caroline Wozniacki tidak berdepan masalah untuk menundukkan pemain Latvia, Anastasija Sevastova walaupun terpaksa bermain tiga set untuk mengesahkan tempat ke suku akhir tenis Terbuka Itali, awal pagi tadi.

Wozniacki memenangi aksi itu dengan keputusan 6-2, 5-7, 6-3 untuk melangkah ke kelompok lapan terbaik di Rome, sejak kali terakhir melakukannya pada tahun 2011.

Dia dijadualkan berdepan pemain Estonia, Anett Kontaveit yang turut layak apabila mencipta kejutan menumbangkan Venus Williams, buat kali kedua dalam tempoh seminggu selepas kejohanan di Madrid, Sepanyol.

Kontaveit, 22, menang 6-2, 7-6 (7/3) ke atas pemain berusia 37 tahun dari Amerika Syarikat (AS) itu yang juga pemain pilihan kelapan dan pernah muncul juara di situ pada tahun 1999.

Sementara itu, Simona Halep menghidupkan peluang untuk mengekalkan status pemain nombor satu dunia apabila lawannya dari AS, Madison Keys menarik diri akibat kecederaan sekali gus mara ke suku akhir.

Finalis tahun lalu dari Romania ini bakal berdepan cabaran pemain Perancis, Caroline Garcia yang mengenepikan juara Terbuka AS, Sloane Stephens 6-1, 7-6 (9/7).

Juara tiga kali, Maria Sharapova pula menang ke atas Daria Gavrilova 6-3, 6-4 dan bakal berdepan pilihan kelima yang juga juara Terbuka Perancis, Jelena Ostapenko yang menumbangkan cabaran pemain Britain, Johanna Konta dengan kemenangan 2-6, 6-3, 6-4. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×