SEOUL 17 MEI – Korea Selatan hari ini menyatakan kesudian untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan ‘ketegangan’ yang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) dengan Korea Utara selepas Pyongyang mengancam untuk membatalkan persidangan melibatkan pemimpinnya, Kim Jong-un dengan Presiden Donald Trump pada 12 Jun ini.
Menurut seorang pegawai Blue House, kerajaan pimpinan Presiden Moon Jae-in komited untuk menjadi orang tengah antara Korea Utara dan AS bagi memastikan sidang kemuncak tersebut berjalan lancar.
“Blue House komited untuk menyampaikan maklumat yang adil dan saksama kepada kedua-dua pihak (AS dan Korea Utara), terutamanya mengenai sidang kemuncak yang bakal diadakan pada 12 Jun ini di Singapura.
“Reaksi AS dan Korea Utara menunjukkan kedua-dua negara tersebut serius dan ikhlas untuk mengadakan sidang kemuncak tersebut,” jelas pegawai yang identitinya tidak didedahkan.
Dalam pada itu, Trump dijangka menerima kunjungan Jae-in dalam satu sidang kemuncak di White House pada 22 Mei ini dan kedua-dua pemimpin itu bakal berbincang mengenai rundingan antara AS dan Korea Utara.
Korea Utara semalam mengugut untuk membatalkan sidang kamuncak akan datang sekiranya Washington berterusan mendesak negara itu untuk menghenti kan program senjata nuklearnya secara menyeluruh.
Akhbar Jepun, Asahi hari ini melaporkan bahawa AS menggesa supaya Korea Utara menghentikan pembangunan beberapa senjata nuklear termasuk peluru berpandu balistik antara benua (ICM) dalam tempoh enam bulan.
Akhbar itu juga melaporkan bahawa Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo memaklumkan kepada Jong-un ketika mengadakan pertemuan di Pyongyang pada bulan ini bahawa Korea Utara akan dikeluarkan daripada senarai negara yang menyokong keganasan jika menghentikan program senjata nuklearnya.
Jika Pyongyang bersetuju untuk menghentikan program senjata nuklearnya ketika sidang kemuncak diadakan kelak, maka Washington bercadang untuk memberi jaminan terhadap rejim pentadbiran Jong-un.
Keraguan berhubung sidang kemuncak antara kedua-dua negara tersebut timbul apabila Pyongyang mengecam latihan ketenteraan melibatkan AS dengan Korea Selatan sebagai satu provokasi dan secara tidak langsung menggesa satu rundingan tahap tinggi diadakan dengan Seoul.
Sebagai reaksi, Trump menyatakan ketidakpastian mengenai sidang kemuncak tersebut namun beliau tetap bertegas untuk mendesak Pyongyang menghentikan program senjata nuklearnya.
Sementara itu, pegawai tertinggi China, Wang Yi menyatakan bahawa AS perlu menggunakan peluang sebaik mungkin untuk mengadakan rundingan damai dengan Korea Utara.
Katanya, pembatalan sidang kemuncak tersebut akan memberi kesan besar terhadap pentadbiran Trump yang penuh dengan kontroversi, termasuk isu keluar dari perjanjian nuklear Iran dan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel. – REUTERS










